\

Print

PERTINGKATKAN USAHA MEMARTABAT BAHASA MELAYU

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyambut baik cadangan kerajaan mahu menjadikan kursus kritikal di institusi pengajian tinggi (IPT) dalam bahasa Melayu bagi memastikan statusnya dapat dilonjakkan ke satu tahap lebih wajar. Bagi DPPM, tindakan ini amat baik bagi memastikan bahasa Melayu tidak ketinggalan dalam arus kemodenan, kemajuan teknologi serta turut menyumbang dalam kejayaan bangsa dan negara dalam bidang berkaitan.


Selain itu, usaha ini bagi memastikan bahasa Melayu dilonjakkan dan dimartabatkan sebaiknya di dalam negara ini. Sudah sampai masanya bahasa kebangsaan negara diangkat ke tahap tertinggi supaya rakyat Malaysia merasa bahawa bahasa Melayu juga mampu setanding dengan bahasa negara lain di dunia.

Kita sepatutnya merasa bangga dengan bahasa kebangsaan ini sebagaimana bangsa lain juga berbangga dengan bahasa ibunda mereka. Malah bangsa hebat di dunia seperti Cina, Korea dan Jepun tidak kekok menjadikan bahasa ibunda mereka sebagai bahasa rasmi termasuk penggunaannya di IPT.

DPPM juga bersetuju supaya cendikiawan yang aktif menghasilkan karya ilmiah dalam bahasa Melayu khususnya bidang kritikal seperti perubatan, undang-undang dan kejuruteraan diberikan pengiktirafan dan anugerah. Ia sekaligus menjulang darjat mereka yang berjuang meningkatkan bahasa Melayu sebagai bahasa terpenting di rantau Asia. Malah cendikiawan-cendikiawan lain juga digalakkan agar kerap menerbitkan karya akademik mereka di dalam bahasa Melayu sebagai suatu dorongan bagi menjadikan karya ilmiah bahasa Melayu menjadi rujukan akademik bangsa dan negara lain.

DPPM juga mencadangkan supaya kerajaan berusaha lebih agresif menjadikan bahasa Melayu sebagai teras dalam semua sektor seperti akademik di IPT, sektor korporat, profesional dan lain-lain. DPPM yakin jika ini mampu dilakukan bahasa Melayu akan mampu menjadi bahasa perantara di negara ini di segenap sektor serta menjadi bahasa terpenting di rantau ini suatu masa kelak.

 

KHAIRUL FAIZI AHMAD KAMIL
Setiausaha
Dewan Pemuda PAS Malaysia

 

 

 

 

Download from BIGTheme.net free full premium templates