\

Print

HENTIKAN TAYANGAN FILEM DI PAWAGAM WAKTU MAGHRIB

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) memuji sikap penerbit dan pengarah filem terkenal, saudara Ahmad Idham Ahmad Nadzri kerana menegur sikap pemilik pawagam di negara ini yang tidak sensitif apabila menayangkan filem-filem tempatan pada waktu Maghrib. Bagi DPPWP, Ahmad Idham adalah seorang sutradara dan penerbit filem yang memiliki keperibadian tinggi serta peka terhadap agama Islam sehingga sanggup menegur dengan lantang agar industri hiburan tidak hanyut dengan kemungkaran.


Teguran Ahmad Idham sewajarnya diterima dan disambut baik oleh pemilik pawagam seluruh negara. Pemilik pawagam sepatutnya peka terhadap sensitiviti umat Islam dan tidak memikirkan mengaut keuntungan semata-mata. Menayangkan waktu filem bermula jam 7.00 malam akan menyebabkan ramai umat Islam ‘terkandas’ dan berdosa kerana meninggalkan solat dengan sengaja. Apakah pemilik pawagam yang beragama Islam mahu menanggung dosa umat Islam yang meninggalkan solat gara-gara menayangkan filem di waktu solat Maghrib?

Selain itu, kerajaan melalui Kementerian Penerangan juga perlu bertegas dalam perkara ini  dengan meletakkan peraturan atau garis panduan supaya pemilik pawagam tidak menayangkan sebarang filem ketika waktu Maghrib bermula jam 7 hingga 8 malam. Paling tidak, mereka yang bukan beragama Islam menghormati umat Islam yang sedang solat pada waktu itu dan memberikan laluan kepada umat Islam menunaikan kefardhuan mereka sebelum menayangkan sesuatu filem. Pemantauan perlu dibuat dengan mengambil tindakan ke atas pemilik pawagam yang engkar termasuk denda atau menyita supaya peraturan ini dipatuhi oleh semua pihak.

Apa yang diharapkan agar semua pihak menghormati amalan dan ibadah umat Islam. Islam tidak melarang hiburan asalkan ianya tidak melanggar batasan syariat Islam serta melampau dalam sesuatu perkara. Semoga Ahmad Idham beroleh keberkatan dan kemurahan rezeki dengan tegurannya dan semoga beliau terus cemerlang dengan karya dan filem beliau yang bermutu.

MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ
Timbalan Ketua
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

 

 

 

 

Download from BIGTheme.net free full premium templates