Print

HAPUSKAN RASUAH : PM PERLU BUKTIKAN JANJI

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mahu Perdana Menteri mengotakan janjinya dengan berusaha menjadikan rasuah sebagai sebahagian daripada perkara yang sudah berlalu bagi Malaysia, bukan suatu amalan akan datang.


Tidak pasti sama ada PM benar-benar ikhlas bercakap soal memerangi rasuah atau tidak. Apa yang diharapkan, ucapannya lahir dari hati yang ikhlas dan ditunaikan dengan tindakan susulan yang agresif. DPPM tidak mahu PM hanya berjanji dan berilusi bahawa Malaysia bebas rasuah, sedangkan di dalam negara ini sarat dengan pemimpin korupsi dan rasuah yang dilakukan secara terang-terangan. Sebelum ini PM banyak beretorik dengan pelbagai slogan dan janji manis setinggi langit namuan pengisiannya hampas sama sekali.

DPPM melihat dalam keadaan sekarang, rasuah tidak mampu di kekang mahupun dibanteras seperti yang dihasratkan. Keyakinan rakyat berdasarkan kepada prestasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selama ini tidak begitu membanggakan. Kuasa SPRM terlalu terbatas dan hanya bergerak pada sudut yang sempit sahaja.

Yang diketahui adalah pemimpin atau pegawai bawahan diambil tindakan sekiranya mereka didapati terlibat dengan rasuah sedangkan ramai ‘jerung-jerung besar’  yang bebas bergerak di dalam negara menggunakan kuasa mereka meskipun rakyat mengetahui bahawa mereka terlibat dengan korupsi atau rasuah.

Justeru itu, DPPM bersetuju dengan saranan Dato’ Mahfuz Omar bahawa sekiranya benar PM mahu SPRM dijadikan tentera medan hadapan bertempur dengan rasuah, empat tindakan agresif perlu diambil. Iaitu SPRM diletakkan di bawah kuasa parlimen di mana Pengerusi SPRM dilantik oleh Yang Di Pertuan Agong dengan calon-calonnya ditapis oleh Parlimen melalui satu jawatankuasa khas Parlimen. Kedua, SPRM diberi kuasa untuk mendakwa tanpa merujuk Peguam Negara. Ketiga, semangat anti rasuah mesti disematkan dalam kehidupan rakyat Malaysia manakala keempat, UMNO mesti berundur dari tampuk pemerintahan negara.

Jika PM berani menghapuskan rasuah, ini bermakna PM mesti berani berhadapan dengan pemimpin parti beliau dan komponennya yang banyak dipalitkan dengan rasuah termasuk diri dan keluarganya. Soalnya, beranikah beliau bertegas dengan pemimpin bawahannya dan sanggupkan beliau berlaku adil kepada rakyat untuk tindakan diambil terhadap diri dan ahli keluarganya sendiri sekiranya mereka didapati melakukan rasuah?

 
KHAIRUL FAIZI AHMAD KAMIL
Setiausaha
Dewan Pemuda PAS Malaysia

 

 

 

 

Download from BIGTheme.net free full premium templates