\

Print

PM cuba mesra mahasiswa, Ahmad Said ?

Kenyataan Media

Dewan Pemuda PAS Malaysia

PM cuba mesra mahasiswa, Ahmad Said ?

26 Rabi'u al-Akhir 1433 bersamaan 19 Mac 2012

Dewan Pemuda PAS Malaysia sangat terkilan dengan tindakan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang menarik balik membatalkan serta-merta penajaan pendidikan di bawah Yayasan Terengganu (YT) ke atas 6 pelajar lelaki setelah didapati terlibat dalam demostrasi BERSIH 2.0 di Mesir.

Tindakan ini dilihat sebagai satu tindakan yang bercanggah dengan pendekatan yang dibuat oleh Dato' Seri Najib yang cuba mesra mahasiswa dengan merombak semula Akta Universiti dan Kolej Universiti. Dewan Pemuda PAS Malaysia melihat pembatalan bantuan ke atas mahasiswa terbabit adalah hasil daripada semangat AUKU di dalam diri Menteri Besar Terengganu yang cuba mengawal mahasiswa agar menjadi "pak turut" beliau sahaja.

Sekiranya indikator pembatalan bantuan oleh Menteri Besar Terengganu itu ke atas 6 pelajar tadi hanya kerana mereka memakai pakaian kuning dan memegang bendera Terengganu, Dewan Pemuda PAS Malaysia merasakan ianya sebagai satu agenda politik daripada Menteri Besar Terengganu untuk mencantas mahasiswa luar negara daripada memiliki pemikiran yang berkembang maju.

Ternyata sebagai seorang Menteri Besar, beliau tidak mampu untuk berfikir sebagai seorang pentadbir dan pemerintah. Beliau mendakwa himpunan pelajar tersebut adalah bermotifkan politik sedangkan pelajar-pelajar terbabit berkumpul hanya demi untuk memastikan negara yang bakal mereka curahkan bakti dan suci dan bersih dari segala kekotoran rasuah, penyelewengan dan sebagainya.

Dewan Pemuda PAS Malaysia mengingatkan kepada Datuk Seri Ahmad Said supaya jangan hanya pandai menjadi kerajaan yang hanya tahu meminta itu dan ini daripada mahasiswa tetapi tidak pula pandai menjadi pendengar kepada nasihat dan cadangan mereka. Jangan hanya tahu menyuruh mereka pulang berkhidmat tetapi apabila mereka lontarkan pandangan, pandangan tersebut dibakul sampahkan tanpa dinilai baik dan buruknya.

Dewan Pemuda PAS Malaysia membantah tindakan Datuk Seri Ahmad Said ke atas 6 mahasiswa ini. Tindakan kuno yang bersifat autokrasi yang menggunakan kuasa supaya mereka patuh dan buat apa sahaja yang diinginkan ini perlu dibanteras. Cara-cara seperti ini tidak lagi akan menghalang kebangkitan anak muda untuk membubar kerajaan korup UMNO-BN.

Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia DPPM sedia menawarkan khidmat guaman kepada 6 mahasiswa yang dianiyai oleh Menteri Besar mereka. Dewan Pemuda PAS Malaysia menegaskan, inilah salah satu bukti yang menyatakan bahawa kerajaan UMNO-BN gentar dan takut menghadapi suara kebenaran anak muda. Dewan Pemuda PAS Malaysia menyeru kepada sekalian anak muda agar terus bangkit dan mendesak sehingga kerajaan korup UMNO-BN ini dapat ditumbangkan dalam PRU 13.

 

Disediakan oleh ;

Dr Raja Ahmad al-Hiss

Naib Ketua Pemuda

Dewan Pemuda PAS Malaysia

Download from BIGTheme.net free full premium templates