\

Print

TANGGUNGJAWAB UTAMA PEMIMPIN NEGARA MEMPERTAHANKAN ISLAM

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menggesa kerajaan UMNO-BN menjadi benteng pertahanan utama agama Islam  menentang sebarang usaha menghina dan memperlekah agama Islam oleh golongan bukan Islam di negara ini. DPPM merujuk kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meminta pihak yang menyentuh sensitiviti masyarakat Islam agar tidak berlanjutan sehingga boleh mencetuskan ketegangan seperti berlaku di negara Islam lain.


Kenyataan TPM sebenarnya ditujukan kepada dirinya dan partinya sendiri sebagai parti yang menguasai kerajaan persekutuan, kerana beliau bersama PM yang berkuasa dalam negara ini dan menjadi kewajipan pula kepada dirinya dan pemimpin partinya mempertahankan Islam dari dinodai oleh pihak lain.

Bagi DPPM, jika ada pihak yang terus memperlekeh dan menghina ajaran Islam, pemimpin UMNO patut dipersalahkan kerana tidak bersikap tegas terhadap golongan ini. Sebagai pemimpin tertinggi di negara ini, mereka bertanggungjawab membela Islam dan menghukum golongan yang mempersenda Islam.

Golongan bukan Islam tidak akan berani mempersenda Islam sekiranya pemimpin Islam negara ini tegas dengan prinsip dan pendirian dalam mempertahankan Islam. Islam akan dihormati sekiranya pemimpin Islam negara ini menzahirkan Islam dalam bentuk penghayatan, pelaksanaan di semua sektor dalam negara ini. Golongan bukan Islam akan merasai keindahan Islam sekiranya prinsip keadilan, kejujuran dan amanah dalam kepimpinan negara berjaya diterjemahkan dalam kehidupan.

DPPM melihat, untuk memastikan agama Islam tidak diperlekeh golongan bukan Islam, aspek pendidikan dan kefahaman menyeluruh perlu diberi kepada rakyat Malaysia supaya mereka faham ajaran Islam yang sebenarnya. Keindahan, kesyumulan, dan keizzahan Islam perlu disampaikan kepada semua golongan agar mereka benar-benar memahami Islam. Tanggungjawab pemimpin negara adalah berdakwah dengan menyampaikan Islam kepada semua pihak melalui pelbagai medium, daripada masjid, penceramah dan pendakwah, wacana, dialog, risalah, bahan cetakan, program di TV dan lain-lain lagi.

Pemimpin negara pula perlu bekerjasama dengan semua pihak daripada NGO, parti politik termasuk pembangkang, dan persatuan-persatuan Islam di negara ini. Sikap diskriminasi atau berpolitik terhadap pihak lain terutamanya pemimpin pembangkang dan ulama’ di negara ini perlu diketepikan supaya ajaran Islam benar-benar dapat disampaikan. Dalam soal mempertahahankan Islam, kejujuran dan keikhlasan diutamakan dengan menolak sentimen sempit kepartian dan kepentingan peribadi.

 

RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia

 

 

 

 

Download from BIGTheme.net free full premium templates