Print

KERAJAAN PERLU BERJIWA BESAR

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek tidak menolak kemungkinan untuk menarik balik gelaran Sasterawan Negara (SN) dari Datuk A Samad Said ekoran tindakan beliau bersama individu lain dilihat mengibarkan bendera Sang Saka Malaya semasa sambutan ambang kemerdekaan beberapa hari lalu. Sebesar itu dosanya untuk ditarik balik anugerah tertinggi kesusasteraan negara kepada individu yang pernah berjasa besar seperti beliau.


DPPM menganggap tindakan kerajaan mengugut Pak Samad seperti tindakan kebudak-budakan. Hanya kerana beliau berbeza pandangan dan pemikiran, beliau diancam dan diugut untuk ditarik anugerah yang pernah diberikan kepadanya. Tindakan ini mencerminkan kerajaan yang tidak matang, lemah dan berjiwa kecil sehingga sanggup memusuhi warga emas yang tidak upaya.

Datuk A Samad Said bukannya penjenayah besar yang mengancam keselamatan negara. Beliau bukannya perasuah, pembunuh, penipu, perompak mahupun penceroboh. Beliau adalah warga negara yang mempunyai taraf kerakyatan yang sah di negara ini. Bahkan, istimewanya, beliau adalah sasterawan negara yang diiktiraf oleh masyarakat. Karya-karya agung beliau kekal terpahat sebagai rujukan dan bacaan generasi negara ini. Jasanya besar sehingga melahirkan pemikir dan intelektual yang cemerlang dan berjaya dalam lapangan hidup. Beliau berjaya mengangkat nama Malaysia dalam dunia kesusasteraan sehebat dan setanding negara lainnya.

Peranannya juga terlalu besar, meskipun usianya sudah senja beliau gagah memimpin umat menegakkan kebenaran. Beliau sanggup bermandi peluh, menghidu gas kimia dan asap pemedih mata hanya semata-mata mahu menegakkan demokrasi di negara ini. Tatkala rakan seangkatan dengannya ramai yang berdiam diri dan berpeluk tubuh, beliau tampil di pentas lapangan dan sanggup bersama-sama dengan rakyat tanpa gentar.

Adalah lebih baik kerajaan memberikannya ruang untuk insan seperti Datuk A Samad Said daripada mengambil tindakan keras terhadapnya. Memuliakan beliau dengan jasa dan pengorbanan beliau lebih baik daripada bertindak melulu yang memberikan reaksi marah rakyat kepada kerajaan.

Adalah lebih baik kerajaan menumpukan kepada pelaku-pelaku rasuah dan pembohong besar yang merosakkan negara, mencuri duit rakyat, mengambil dan merampas hak rakyat,  serta mereka yang mengambil kesempatan. Lebih baik juga kerajaan menumpukan kepada penjenayah-penjenayah yang mengancam keselamatan rakyat dan negara serta penceroboh  yang berusaha menerobos masuk ke dalam negara.

 

RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia

 

 

 

 

Download from BIGTheme.net free full premium templates