\

Print

DPPM TUBUH JAWATANKUASA BENCANA ALAM NEGERI BANTU MANGSA BANJIR

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) memandang serius perkembangan banjir di beberapa buah negeri di semenanjung Malaysia. Dilaporkan sehingga ke hari ini sejumlah 9,000 orang telah dipindahkan di Pahang dan kawasan yang terjejas teruk adalah di Maran, Pekan, Rompin, Kuantan dan Jerantut. Manakala sejumlah 7,409 mangsa dipindahkan di negeri Johor.


Hujan lebat yang beterusan menambah kebimbangan bahawa banjir besar dan bencana akan melanda negara. Paras sungai di beberapa buah negeri mencatat bacaan kritikal dan berada di paras berbahaya. Apa yang dibimbangkan adalah jika ada mangsa yang terkorban atau wabak penyakit merebak dan menyerang mangsa banjir terutama kanak-kanak.

Atas keprihatinan itu, DPPM mengarahkan Dewan Pemuda PAS Negeri-negeri terutama di negeri terlibat membentuk Jawatankuasa Bencana Alam yang diketuai oleh seorang Ketua Operasi Bencana Alam Pemuda Negeri.

Peranannya adalah untuk menerima maklumat banjir seluruh negeri, menyusun gerakerja membantu mangsa banjir, menjadi penghubung di antara pihak pemuda dengan pihak luar dan mengambil tindakan yang perlu berkaitan banjir. DPPN juga diminta membuka bilik gerakan banjir dengan sesegera mungkin. Jawatankuasa ini perlu mengadakan kerjasama dengan Badan Perhubungan PAS Negeri-negeri bagi mengotimumkan tindakan dan gerak kerja.

DPPM juga melancarkan Tabung Derma untuk membantu mangsa banjir. Bantuan boleh disalurkan melalui Tabung Kemanusiaan Pemuda dan sumbangan boleh disalurkan ke akaun tersebut melalui Maybank : 564025400100. Sumbangan berupa wang ringgit, peralatan dapur, selimut, bantal serta pakaian amat diperlukan dalam menghadapi musibah seperti ini. Sumbangan ini akan disalurkan terus kepada mangsa banjir di kawasan-kawasan melalui jawatankuasa yang dibentuk di negeri-negeri.

Jabatan Amal Malaysia bersama Jabatan Amal Negeri-negeri juga diarahkan mengadakan kerjasama dengan Jawatankuasa Bencana Alam DPPN. Sebagai tambahan, Jabatan Amal diminta menurunkan anggotanya ke lokasi banjir bagi memantau dan membantu mangsa banjir.

DPPM telah melantik Ketua Bilik Gerakan Banjir DPPM yang diketuai oleh Saudara Yusapiza Ya’acob, Pegawai DPPM. Segala maklumat semasa daripada Ketua Operasi Bencana Alam seluruh negara perlu di laporkan kepada Sdr Yusapiza di Pejabat DPPM, No 313 A, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur melalui nombor talian hotline : 017 2692944.

 

SUHAIZAN KAIAT
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

 

 

 

 

Download from BIGTheme.net free full premium templates