Articles

Print

SPEAKER DIMINTA BERLAKU ADIL DAN JUJUR KEPADA SEMUA MP

Written by Suhaimi bin Abdul Aziz.

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) meminta agar Yang Di Pertua Dewan Rakyat (Speaker) yang baru dipilih bagi penggal ke 13, Tan Sri Pandikar Amin Mulia agar menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diberikan ini dengan penuh amanah dan adil kepada semua pihak.


DPPM yakin, semua Ahli Parlimen akur dengan pelantikan beliau dalam proses pemilihan yang berlangsung semalam meskipun berlaku kekecohan dan dakwaan undian dijalankan tidak secara adil kerana tiada jaminan kerahsiaan. Beliau telah terpilih melalui undian dan suratan menentukan Tan Sri Pandikar akan sekali lagi menjadi Yang Di Pertua buat penggal keduanya berturut-turut.

Dalam komposisi Ahli Parlimen Pakatan Rakyat meningkat menjadi 89 orang manakala Ahli Parlimen Barisan Nasional merosot menjadi 133 orang, seharusnya beliau melihat semua Ahli Parlimen dengan pandangan yang adil tanpa melebihkan satu-satu pihak. Semua Ahli Parlimen perlu diberikan ruang berbahas mengenai sesuatu perkara dan mana-mana pihak yang melanggar peraturan perlu diambil tindakan meskipun ia datangnya dari Ahli Parlimen parti beliau sendiri.

Rakyat telah memilih Ahli Parlimen dan tugas Ahli Parlimen adalah berbincang dan berbahas untuk kepentingan rakyat. Tugas Speaker pula adalah meneutralkan keadaan dan memutuskan sesuatu perkara dengan mengambil pandangan semua pihak serta kepentingan umum. Rakyat tidak mahu pemimpin mereka meletakkan kepentingan diri sendiri dengan melupakan kepentingan rakyat yang mengundi mereka. Rakyat sudah bosan dengan suasana politicking kepartian yang tidak berkesudahan sehingga melupakan perkara utama yang mereka perlu perjuangkan di dalam dewan yang mulia itu.

Adalah diingatkan, menjadi Yang Di Pertua Dewan Rakyat adalah suatu amanah yang dipertanggungjawabkan oleh rakyat dan Ahli Parlimen. Ketidak adilan beliau dalam memimpin Parlimen sesi ini akan dipersoalkan oleh Allah SWT di hari akhirat kelak.

RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia

 

 

 

 

Download from BIGTheme.net free full premium templates