Articles

Print

EKONOMI DAN POLITIK, SIAPA LEBIH BERKUASA?

Written by Syahir Che Sulaiman.

Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah kami akan melimpahkan kepada mereka barakah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, Maka kami seksa mereka disebabkan perbuatannya.” (uUrah Al-A’raf: 96)

Ekonomi sangat berkait-rapat dengan keputusan dan pilihan. Sesebuah ekonomi yang sihat diukur pada tahap permintaan dan penawaran terkumpul yang terbit daripada kerancakan aktiviti keusahawanan dan transaksi perniagaan di antara penjual dan pembeli, manakala pelaksanaan polisi ekonomi sesebuah negara boleh bertindak sebagai pemangkin atau penghalang kepada kerancakan ekonomi tersebut.

Dalam sektor perniagaan, terdapat 2 kategori usahawan iaitu mereka yang berdaya-eksplorasi
(exploration) dan mereka yang berdaya-eksploitasi (exploitation). 

Di dalam sesebuah ekonomi, kedua-dua jenis usahawan ini wujud tetapi sebuah ekonomi yang sihat memilih lebih ramai usahawan berdayaeksplorasi.

Di pentas politik pula terdapat 2 kategori ahli politik iaitu mereka yang berdaya-khidmat (serviceoriented) dan mereka yang berdaya-manipulasi (manipulative-oriented). 

Di dalam sesebuah ekonomi, kedua-dua jenis ahli politik ini wujud tetapi sebuah ekonomi yang sihat memilih lebih ramai pemimpin berdaya-khidmat berbanding pemimpin khianat yang hidup dengan korupsi, manipulasi dan pembaziran wang rakyat.

Manakala di kalangan rakyat juga terdapat 2 kategori pengguna iaitu pengguna-bijak (smart consumer) dan pengguna-dimanipulasi (manipulated consumer). 

Di dalam sesebuah ekonomi, kedua-dua jenis pengguna ini wujud tetapi sebuah ekonomi yang sihat memilih lebih ramai rakyat yang bijak daripada dipijak.


Rakyat penentu kuasa ekonomi dan politik

 

Pemangkin sebenar pertumbuhan ekonomi terletak di tangan pengguna dan rakyat yang bijak.

Tahap permintaan dan penawaran di dalam negara bergantung pada tahap kecenderungan rakyat untuk menghasilkan produk dan perkhidmatan (propensity to produce) yang dibalas dengan ganjaran pendapatan, seterusnya kecenderungan untuk berbelanja, menyimpan dan meminjam (propensity to consume, to save, to borrow).

Kita seharusnya hidup mengikut kemampuan, seterusnya berjimat untuk menyimpan dan meminjam hanya untuk perkara yang berkualiti dan diperlukan.

Usahawan berjaya pula adalah mereka yang melaburkan masa dan tenaga dalam mencipta produk yang lebih baik, memberikan khidmat pelanggan yang terbaik, bertanggungjawab terhadap kelestarian alam sekitar, dan menyokong segmen pekerja untuk meningkatkan komitmen dan produktiviti.

Namun, dari masa ke masa, kebanyakan usahawan berdaya-eksplorasi ini cenderung untuk beralih
menjadi usahawan berdaya-eksploitasi apabila mereka ini ‘terlalu besar untuk gagal’.

Mereka melobi kerajaan untuk mendapatkan pelbagai projek, tender dan insentif cukai, mengurangkan kos dengan memberi tekanan kepada gaji pekerja, bergabung dengan pesaing untuk mewujudkan gergasi monopoli, ketandusan idea baru dan meneruskan penghasilan produk yang sama berbanding membangunkan produk baru, serta memanipulasi harga untuk mengaut keuntungan yang lebih terhadap pengguna dan rakyat.

Sokongan kerajaan sewajarnya dialih daripada membela gergasi korporat kepada usaha penggalakan pertumbuhan industri kecil dan sederhana. 

Insentif dan subsidi perlu disalurkan untuk meningkatkan kecekapan dan dayatahan rakyat dan usahawan, manakala polisi cukai dan undang-undang perlu dilaksanakan untuk mewujudkan iklim pelaburan yang mampan dan produktiviti yang tinggi, bukannya untuk melahirkan generasi ‘kenal-siapa’ (know-who) yang mengatasi kualiti ‘tahu-bagaimana’ (knowhow) di dalam masyarakat.

Dasar ekonomi negara perlu beralih kepada prinsip nilai berbanding terbina di atas prinsip manipulasi yang dipandu rasa tamak dan takut (greed and fear). 

Kebergantungan kepada kerajaan dapat dikurangkan dengan membudayakan nilai tanggungjawab bersama di antara kaya dan miskin sebagaimana dianjurkan daripada amalan zakat, sedeqah, infaq dan waqaf bagi menampung pembinaan institusi agama, masyarakat, pendidikan, kesihatan dan infrastruktur kepada rakyat.

Walaupun kerajaan berbangga dengan kedudukan di tangga ke-54 di kalangan 176 buah negara dalam Indeks Persepsi Rasuah, namun realiti nilai integriti dan tranparensi di Malaysia tidak seindah khabar.

Pemberian tender bernilai jutaan dan bilion ringgit oleh pihak kerajaan terus mengundang persoalan terhadap budaya kronisma dan nepotisma, amalan rasuah dan sogokan terus membiak daripada sebesarbesar nilai hingga ke sekecil-kecil nilai, malah institusi agama dan pendidikan turut tidak dapat lari daripada terdedah kepada bahaya amalan rasuah.

Dasar fiskal yang penuh integriti dan berkebajikan sangat diperlukan oleh negara Malaysia.


* Syahir Sulaiman merupakan EXCO Pemuda PAS. Beliau mendokong usaha membangun Negara Berkebajikan.

Download from BIGTheme.net free full premium templates