KAJI HUBUNGAN DUA HALA MALAYSIA-MESIR

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) mendesak agar Kerajaan Malaysia untuk mengkaji semula hubungan dua hala diantara Malaysia dan Mesir. DPPP berpandangan, dengan insiden terkini berhubung tindakan Kerajaan Mesir membina tembok penghalang terowong penghubung di Gaza yang mana pembinaan tersebut jelas seperti satu keputusan untuk menghalang rakyat dan umat islam Palestin dari mendapat bekalan makan, ubat-ubatan dan kewangan.

DPPP melihat tindakan Kerajaan Mesir ini jelas bertentangan dengan ketetapan dan prinsip Persidangan Negara-negara Islam (OIC) yang termaktub untuk menjaga dan membela nasib umat Islam Palestin yang ditindas dan dibunuh oleh Kerajaan Haram Israel. Komitmen Malaysia dan rakyatnya  sebagai ahli OIC yang senantiasa memperjuangkan nasib rakyat Palestin perlu diperjelaskan lagi dengan bantahan kita terhadap tindakan songsang Kerajaan Mesir membina tembok sejauh 16km di Gaza yang mana seolah-olah ingin ‘membunuh dalam senyap’ rakyat Palestin di Gaza disamping tunduk kepada desakan regim zionis Israel.

Insiden penahanan seorang rakyat Malaysia kelmarin juga adalah satu manifestasi tindakan yang tidak menunjukkan solidariti terhadap rakyat Palestin. DPPP menggesa pihak Kementerian Luar agar menyiasat laporan bahawa rakyat Malaysia yang ditahan tersebut tidak mendapat layanan yang sewajarnya dari pihak berkuasa Mesir.

Oleh itu, DPPP sekali lagi mendesak agar Kerajaan Malaysia supaya mengkaji semula hubungan dua hala diantara Malaysia dan Mesir yang dilihat mencabar kesabaran dan prinsip aqidah umat Islam di Malaysia yang rata-rata mahu rakyat Palestin dibela dan bukannya dibunuh. Rakyat Malaysia tidak sanggup melihat saudara seagama di Palestin diratah dan ditindas oleh Isreal dengan mendapat pertolongan dari sebuah kerajaan dan Negara yang pemimpinnya seorang Islam seperti Presiden Mesir, Hosni Mubrak. Rakyat Malaysia tidak sudi berkerjasama dengan Negara yang sanggup menganiayai saudaranya di Palestin. Maka sewajarnya, Kerajaan Malaysia mengkaji semula hubungan dua hala Malaysia Mesir.

Sekian, Terima Kasih.

Haji Nasrudin Hassan At-Tantawi
Ketua
Dewan Pemuda PAS Pusat